Ryt Bank

TERMA DAN SYARAT KEMPEN BAUCAR SHOPEE RYT INVEST

Tarikh Berkuat Kuasa: 10 November 2026

Kempen Baucar Shopee Ryt Invest ("Kempen") dianjurkan oleh YTL Digital Bank Berhad ("Ryt Bank / kami") dengan kerjasama Shopee Mobile Malaysia Sdn. Bhd. ("Shopee").

Dengan menyertai Kempen ini, anda dianggap telah membaca, memahami dan menerima terma dan syarat Kempen ini ("Terma Kempen"). Anda boleh mendapatkan penjelasan dengan menghubungi kami sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan Terma Kempen ini.

  1. Tempoh Kempen

    10 November 2026, 4:00 petang hingga 15 Januari 2027, 11:59 malam.

  2. Kelayakan

    1. Kempen ini terbuka kepada semua pelanggan individu baharu dan sedia ada Ryt Bank yang:

      1. mempunyai Akaun Ryt Bank yang aktif;

      2. telah berjaya melengkapkan proses pendaftaran Ryt Invest; dan

      3. memenuhi keperluan yang terpakai untuk melabur dalam mana-mana dana yang ditawarkan melalui Ryt Invest,

      (secara kolektif dan masing-masing dirujuk sebagai "Pelanggan Layak").

    2. Kategori individu berikut tidak layak untuk menyertai Kempen ini:

      1. pelanggan yang Akaun Ryt Bank atau akses kepada Ryt Invest mereka ditamatkan, ditutup, dorman, dibekukan, disekat, digantung, tertunggak, atau tidak berada dalam kedudukan baik sepanjang Tempoh Kempen; dan

      2. pelanggan yang telah melanggar atau disyaki telah melanggar mana-mana Terma Kempen ini atau mana-mana terma dan syarat lain yang terpakai bagi Akaun Ryt Bank atau Ryt Invest.

    3. Kempen ini tertakluk kepada peruntukan maksimum Ganjaran yang ditentukan oleh Ryt Bank ("Peruntukan Maksimum"). Ganjaran akan diberikan berdasarkan siapa cepat, dia dapat. Sebaik sahaja Peruntukan Maksimum telah digunakan sepenuhnya, tiada Ganjaran selanjutnya akan diberikan, walaupun pelanggan telah memenuhi keperluan yang terpakai di bawah Terma Kempen ini dan Tempoh Kempen masih belum tamat.

  3. Ganjaran dan Mekanisme Kempen

    1. Untuk layak menerima Ganjaran, Pelanggan Layak mesti melabur dalam mana-mana dana yang ditawarkan melalui Ryt Invest sepanjang Tempoh Kempen dan pesanan belian atau pesanan-pesanan belian yang berkaitan mestilah berjaya diproses ("Pelaburan Layak").

    2. Bagi tujuan Kempen ini, "Aliran Masuk Bersih" Pelanggan Layak bermaksud jumlah agregat Pelaburan Layak Pelanggan Layak sepanjang Tempoh Kempen, tidak termasuk sebarang caj jualan yang terpakai, ditolak jumlah agregat semua penebusan atau pengeluaran yang dibuat oleh Pelanggan Layak daripada dana Ryt Invest sepanjang Tempoh Kempen.

    3. Pelaburan Layak boleh dikumpulkan merentasi beberapa transaksi pelaburan dan merentasi dana berbeza yang ditawarkan melalui Ryt Invest.

    4. Pelaburan Layak mesti dikekalkan dalam dana yang berkaitan sehingga tamat Tempoh Kempen. Sebarang jumlah yang ditebus atau dikeluarkan sepanjang Tempoh Kempen akan mengurangkan Aliran Masuk Bersih Pelanggan Layak dengan sewajarnya.

    5. Pesanan belian yang dihantar pada atau sebelum tamat Tempoh Kempen akan diambil kira dalam menentukan Aliran Masuk Bersih Pelanggan Layak walaupun ia berjaya diproses selepas Tempoh Kempen, dengan syarat pesanan belian tersebut kemudiannya berjaya diproses dan tidak ditolak, dibatalkan, diterbalikkan atau sebaliknya tidak berjaya.

    6. Bagi tujuan Terma Kempen ini, "Berjaya Diproses" bermaksud transaksi pelaburan yang berkaitan telah diselesaikan, disahkan dan dicerminkan dalam baki akaun dana Pelanggan Layak yang berkaitan.

    7. Tertakluk kepada Terma Kempen ini dan Peruntukan Maksimum, Pelanggan Layak berhak menerima satu (1) baucar Shopee RM25 bagi setiap RM1,000 lengkap Aliran Masuk Bersih, sehingga lima (5) baucar. Pelanggan Layak dengan Aliran Masuk Bersih sekurang-kurangnya RM5,000 juga berhak menerima satu (1) baucar Shopee RM25 tambahan (masing-masing dan secara kolektif dirujuk sebagai "Ganjaran").

    8. Bilangan Ganjaran yang boleh diterima oleh Pelanggan Layak akan ditentukan seperti berikut:

      Aliran Masuk BersihBilangan GanjaranJumlah Nilai Ganjaran
      RM1,000 hingga RM1,999.991RM25
      RM2,000 hingga RM2,999.992RM50
      RM3,000 hingga RM3,999.993RM75
      RM4,000 hingga RM4,999.994RM100
      RM5,000 dan ke atas6RM150
    9. Untuk mengelakkan keraguan, hanya setiap RM1,000 lengkap Aliran Masuk Bersih akan diambil kira apabila menentukan bilangan Ganjaran. Sebagai contoh, Aliran Masuk Bersih sebanyak RM2,500 akan layak untuk dua (2) Ganjaran.

    10. Setiap Pelanggan Layak berhak menerima maksimum enam (6) Ganjaran di bawah Kempen ini, tanpa mengira bilangan Pelaburan Layak yang dibuat atau bilangan akaun Shopee yang dimiliki oleh Pelanggan Layak.

    11. Ganjaran akan dikeluarkan dalam bentuk kod baucar ke alamat e-mel Pelanggan Layak yang telah disahkan dan didaftarkan dengan Ryt Bank. Walaupun kami akan berusaha untuk mengeluarkan kod baucar kepada Pelanggan Layak dalam tempoh empat belas (14) Hari Perniagaan selepas tamat Tempoh Kempen, pengeluaran mungkin mengambil masa yang lebih lama dalam keadaan luar biasa disebabkan oleh gangguan teknikal, kegagalan elektrik, kegagalan sistem pemprosesan data atau kegagalan lain di luar kawalan munasabah kami. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kelewatan tersebut, dan tiada sebarang pampasan akan dibayar berhubung dengan kelewatan tersebut. Pelanggan Layak bertanggungjawab untuk mendapatkan kod baucar daripada e-mel tersebut dan menggunakannya sebelum tarikh luput yang dinyatakan pada baucar yang berkaitan.

    12. Pelanggan Layak mesti memastikan bahawa alamat e-mel mereka yang didaftarkan dengan Ryt Bank telah disahkan, tepat dan boleh diakses, dan akaun e-mel mereka mempunyai kapasiti storan yang mencukupi untuk menerima e-mel yang mengandungi Ganjaran.

    13. Kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya Pelanggan Layak tidak menerima atau tidak dapat mengakses sebarang Ganjaran disebabkan oleh kegagalan Pelanggan Layak untuk mengesahkan atau mengekalkan alamat e-mel yang tepat dan sah, kapasiti storan e-mel yang tidak mencukupi, atau sebarang keadaan lain di luar kawalan munasabah kami.

    14. Setiap Ganjaran tidak boleh dikembalikan, tidak boleh dipindah milik, tidak boleh ditebus untuk wang tunai, dan tidak boleh digabungkan atau ditukar dengan baucar yang bernilai lebih tinggi.

    15. Setiap Ganjaran hanya boleh digunakan dalam satu transaksi pembayaran (checkout) sahaja. Sebarang baki yang tidak digunakan akan dilucut hak dan tidak akan dikembalikan.

    16. Setiap Ganjaran sah sehingga tarikh luput yang dinyatakan. Ganjaran akan menjadi tidak sah selepas tamat tempoh dan tiada lanjutan akan diberikan.

    17. Penggunaan setiap Ganjaran di platform Shopee adalah tertakluk kepada terma dan syarat Shopee, termasuk Terma Baucar Shopee yang boleh didapati di https://help.shopee.com.my/portal/4/article/163108-Shopee-Voucher-Terms. Shopee boleh mengubah atau meminda terma dan syaratnya dari semasa ke semasa.

    18. Setiap Ganjaran tidak terpakai bagi tambah nilai dompet ShopeePay, pembayaran bil SPayLater atau mana-mana Perkhidmatan Kewangan Shopee, dan pembelian item daripada kategori atau penjual berikut:

      1. Susu Bayi (0–6 bulan);

      2. Susu Susulan (6–12 bulan);

      3. Tiket & Baucar;

      4. Barang Kemas;

      5. Tambah Nilai Mudah Alih & Kad SIM;

      6. Tambah Nilai Permainan;

      7. Produk Elektronik Terpilih;

      8. Produk Pelancaran Baharu Terpilih;

      9. S-Mart Milo;

      10. Produk daripada One or Not by Shopee Store, MMA Foundation Store atau Shopeegivesback Store; dan

      11. Kad Minyak, Kad Hadiah dan E-Baucar PETRONAS & Setel.

      Maklumat lanjut boleh didapati di https://help.shopee.com.my/portal/4/article/88289-[Promotions]-Why-are-promotions-not-applicable-for-products-from-certain-categories.

  4. Pendedahan Am

    1. Kempen ini tidak menjamin pulangan positif keseluruhan ke atas pelaburan atau melindungi daripada kerugian pasaran. Ganjaran adalah berasingan daripada dan sebagai tambahan kepada sebarang pulangan atau kerugian pelaburan daripada Dana Layak yang mendasari.

    2. Kempen ini tidak merupakan nasihat pelaburan atau cadangan untuk melabur dalam mana-mana dana atau jumlah tertentu. Pelanggan Layak hendaklah menjalankan usaha wajar dan penyelidikan mereka sendiri sebelum membuat keputusan pelaburan.

  5. Terma dan Syarat Lain

    1. Terma Kempen ini adalah sebagai tambahan kepada dan mesti dibaca bersama Terma Am, Terma Khusus kami (termasuk terma dan syarat khusus yang terpakai bagi Ryt Invest), dan mana-mana terma dan syarat lain yang berkaitan yang mungkin kami kenakan dari semasa ke semasa dengan notis terlebih dahulu (setiap satunya boleh didapati di laman web kami di https://rytbank.my/terms-and-conditions). Sekiranya terdapat sebarang ketidakselarasan, Terma Kempen ini akan diguna pakai setakat ketidakselarasan tersebut.

    2. Sesetengah istilah berhuruf besar yang digunakan dalam dokumen ini telah ditakrifkan dalam Terma Am atau Terma Khusus kami.

    3. Kami berhak untuk meminda Terma Kempen ini atau menamatkan Kempen ini pada bila-bila masa dengan memberikan notis terlebih dahulu kepada anda, melalui penerbitan di mana-mana media, atau apa-apa cara lain yang munasabah sebagaimana yang kami pilih. Penyertaan berterusan anda selepas pemberitahuan tersebut bermakna anda telah bersetuju dengan semua pindaan tersebut. Jika anda tidak bersetuju dengan Terma Kempen (termasuk sebarang perubahan atau pindaan), anda hendaklah serta-merta berhenti menyertai Kempen ini.

    4. Rekod transaksi yang disimpan oleh kami dan keputusan kami mengenai semua perkara yang berkaitan dengan Kempen ini adalah muktamad dan konklusif, serta mengikat anda bagi semua tujuan.

    5. Kami boleh, mengikut budi bicara kami dan dengan memberikan notis kepada anda, membatalkan kelayakan atau menolak penyertaan anda dalam Kempen ini sekiranya kami mengesyaki atau mengetahui sebarang aktiviti penipuan berkaitan akaun anda.

    6. Sekiranya terdapat sebarang ketidakselarasan antara Terma Kempen ini dan mana-mana bahan pengiklanan, promosi, publisiti atau bahan lain yang berkaitan dengan atau berhubung dengan Kempen ini, Terma Kempen ini akan diguna pakai setakat ketidakselarasan tersebut.

    7. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang salah tafsiran atau salah nyataan fakta oleh mana-mana pihak ketiga berkenaan Kempen ini yang ditawarkan dan diterbitkan dalam mana-mana media, bahan pemasaran atau pengiklanan.

    8. Kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya kami tidak dapat melaksanakan sebahagian atau keseluruhan mana-mana obligasi kami di bawah Terma Kempen ini disebabkan oleh: (a) sebarang bencana alam atau sebarang peristiwa di luar kawalan munasabah kami; atau (b) kegagalan teknikal dalam apa jua bentuk, campur tangan, gangguan dan/atau ralat elektronik atau manusia dalam pentadbiran dan/atau pemprosesan transaksi yang dilakukan melalui Aplikasi Ryt Bank.

    9. Tertakluk kepada Undang-Undang Terpakai, kami, pegawai, pekerja, wakil dan/atau ejen kami (termasuk, tanpa had, mana-mana pembekal perkhidmatan pihak ketiga yang dilantik oleh kami bagi tujuan Kempen ini) tidak akan bertanggungjawab atas sebarang Kerugian yang mungkin dialami oleh anda atau mana-mana orang lain berkaitan dengan Kempen ini, walau bagaimanapun ia timbul, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan sama ada boleh dijangka secara munasabah atau tidak, melainkan disebabkan oleh kecuaian melampau atau salah laku sengaja kami yang berkaitan secara khusus dengan Kempen ini.

    10. Kami secara nyata mengecualikan dan menafikan sebarang representasi, waranti atau sokongan, sama ada nyata atau tersirat, bertulis atau lisan, termasuk, tanpa had, yang diterbitkan dalam mana-mana media massa, bahan pemasaran atau pengiklanan dan sebarang waranti kualiti, kebolehdagangan atau kesesuaian untuk tujuan tertentu.

    11. Terma Kempen ini ditadbir oleh undang-undang Malaysia.